Complete Checklist Kahwin 2021

Majlis perkahwinan diadakantanda kesyukuran dengan termeterainya ikatan perkahwinan yang menjadi matlamat hidup setiap pasangan.Berikut ialah checklist kahwin yang dipecahkan mengikut jangka masa seperti berikut;

12 bulan sebelum
9 bulan sebelum
6 bulan sebelum
3 bulan sebelum
1 bulan sebelum
2 minggu sebelum
1 hari sebelum

Checklist kahwin untuk 12 bulan sebelum

Checklist kahwin untuk 12 bulan sebelum

Tetapkan Tarikh Majlis Perkahwinan

Perkara utama sebelum menyentuh hal-hal lain, langkah pertama adalah menentukan satu tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak bila perkahwinan ingin dilangsungkan.  Selain itu, anda perlu memberi kata putus sama ada ingin mengadakan majlis akad nikah dan resepsi pada hari yang sama atau berbeza.

Melangsungkan akad nikah dan resepsi di satu hari yang sama mempunyai kelemahan seperti kepenatan yang akan ditanggung oleh pengantin sekeluarga dalam satu hari penuh, dimulai dari akad nikah/pemberkatan pada pagi hari dan majlis resepsi  yang akan berlanjutan sehingga petang atau malam. Walau bagaimanapun, pengantin dapat menjimatkan kos  katering, persalinan pengantin, mak andam dan fotografi kerana perlu dibayar sekali sahaja.

Antara tarikh yang tidak digalakkan untuk mengadakan majlis adalah seperti pada minggu pertama raya dan pada musim hujan (kebiasaannya pada hujung tahun). Apabila anda sudah maklum tarikh apa sebaiknya dielak, maka anda boleh membuat pilihan daripada tarikh-tarikh selainnya itu.

Rancang Bajet Untuk Majlis

Untuk memudahkan anda merancang majlis yang kosnya tidak melebihi bajet, anda perlulah membuat senarai yang lengkap tentang segala perkara yang wajib ada dalam majlis dan juga urusan berbayar lain sepanjang perancangan majlis. Fikirkan juga apa yang perlu dijadikan prioriti? Apa yang tak penting dan boleh diketepikan dulu?

Antara perkara yang perlu ada dalam senarai adalah seperti mas kahwin, duit hantaran, barangan kemas seperti cincin, barang-barang hantaran, baju nikah, baju pengantin, pelamin, jurusolek, jurugambar, jurunikah, saksi, kad jemputan, duit sewa khemah atau dewan, katering, door gift dan sebagainya.

Dapatkan Khidmat Wedding Planner Jika Perlu

Bagi mereka yang berkemampuan dan memerlukan khidmat nasihat dalam merancang majlis perkahwinan, khidmat wedding planner amat digalakkan. Mereka lebih berpengalaman dan dapat memastikan majlis berjalan dengan jayanya.Dengan adanya wedding planner, mereka boleh membantu anda membuat keputusan dalam banyak aspek seperti lokasi majlis, bajet dan banyak lagi perkara penting lain. Tiada salahnya melabur berhabis sedikit duit dengan mendapatkan khidmat mereka, asalkan majlis anda berlangsung dengan lancar dan anda berpuas hati dengan majlis itu.

Tetapkan Tema Majlis

Apabila pengantin telah memilih tema majlis, barulah pakaian pengantin, dekorasi hantaran, warna kanopi, doorgift dan pelamin dapat disediakan kerana ia dipilih berdasarkan tema majlis.

Ketika ini, anda perlu tanya diri anda; Apa konsep yang diidamkan? Nak konsep perkahwinan dalam taman? Majlis bertema moden? Atau mungkin juga ingin betul-betul menjadi raja sehari seperti dalam filem klasik dengan konsep perkahwinan tradisional?

Tetapkan Lokasi Majlis

Kenal pasti lokasi untuk mengadakan majlis pernikahan, majlis belah pengantin perempuan dan majlis belah pengantin lelaki. Pilih lokasi majlis menepati kemampuan dan keselesaan contohnya di rumah, masjid, dewan serbaguna atau hotel.Jika anda bercadang nak buat majlis di dewan serbaguna atau hotel, lakukan survey, buat tempahan dan uruskan bayaran deposit dengan segera.

Checklist kahwin untuk 9 bulan sebelum

Checklist kahwin untuk 9 bulan sebelum

Hadiri Pameran Dan Ekspo Pengantin

Anda dan pasangan sudah boleh mula menghadiri pameran-pameran atau ekspo-ekspo pengantin untuk mendapatkan idea untuk majlis. Dalam masa yang sama, anda boleh mendapatkan maklumat serta memilih vendor yang menawarkan pakej yang terbaik dan termasuk dalam bajet anda. Anda boleh mendapatkan maklumat vendor seperti:

  • Pakaian pengantin
  • Pelamin
  • Perkhidmatan jurusolek
  • DJ dan PA sistem
  • Kanopi
  • Fotografi
  • Katering

Senaraikan Nama Dan Bilangan Tetamu

Tetamu ialah orang yang akan memeriahkan majlis nanti. Jadi, kehadiran tetamu sangat penting dan dialu-alukan. Supaya tak terlepas pandang siapa yang ingin dijemput dalam majlis, buat satu senarai lengkap siapa yang ingin dijemput, tak kiralah saudara-mara, kawan-kawan sekolah, universiti, pejabat dan sebagainya. 

Anda akan lebih mudah untuk merancang venue majlis yang selesa dan sesuai dengan jumlah tetamu. Tempahan katering juga dapat dilakukan dengan mudah apabila sudah tahu berapa mulut yang ada di majlis nanti. Nak tempah doorgift dan sebagainya pun akan jadi lebih cepat.Bila dah tulis bilangan tetamu dalam masa yang sama kita dah boleh anggarkan berapa bajet dan keperluan perbelanjaan yang kita perlu keluarkan.Tidak salah untuk mengehadkan bilangan tetamu supaya tidak melebihi bajet yang ditetapkan.

Hadiri Majlis Food Sampling

Tetamu yang hadir perlulah dijamu dengan makanan yang enak. Oleh itu, anda mesti menghadiri majlis food sampling ini untuk menentukan juadah yang akan disajikan ketika majlis nanti. 

Anda perlu mencuba menu-menu yang disediakan oleh pihak katering sebelum bersetuju mengambil servis mereka. Jika anda mempunyai wedding planner, anda boleh bawa mereka mencuba sekali. Mereka dapat membantu anda menentukan servis katering dan pakej katering yang sesuai dengan bajet dan jumlah tetamu anda. 

Keluarga ingin memasak sendiri juadah? Tidak mahu mengambil servis katering? Tidak mengapa, teruskan.

Tempah Baju Kahwin

Anda juga dah boleh mula menempah baju kahwin dan baju tema untuk keluarga pengantin. Pilihan mestilah bersesuaian dengan tema majlis. 

Terdapat banyak vendor yang menawarkan pakej servis pelamin beserta servis busana pengantin. Ia bertujuan untuk memudahkan pengantin menguruskan majlis nanti. Tetapi, jika anda ingin mendapatkan servis pereka luar pun tidak mengapa.

Tunaikan Bayaran Deposit Untuk Vendor

Setelah mengunjungi pelbagai ekspo perkahwinan dan melakukan survey pelbagai pakej yang ditawarkan, anda sepatutnya sudah dapat menentukan vendor-vendor pilihan untuk majlis perkahwinan anda. 

Anda juga sepatutnya sudah mula buat tempahan dan membayar bayaran deposit kepada vendor-vendor ini untuk menempah perkhidmatan mereka untuk majlis anda.

Checklist kahwin untuk 6 bulan sebelum

Checklist kahwin untuk 6 bulan sebelum

Daftar Dan Hadiri Kursus Kahwin

Luangkan masa hujung minggu anda bersama-sama pasangan selama 2 hari untuk menghadiri kursus perkahwinan. Kursus perkahwinan bukan untuk mendapatkan sijil semata-mata. Malah penting untuk anda memahami tanggungjawab suami isteri dalam keluarga, apa yang patut dilakukan dan tidak patut dilakukan dalam perkahwinan serta hak-hak sekiranya berlaku sebarang penceraian.

Lakukan Ujian Hiv Dan Talasemia

Kedua-dua ujian ini adalah mustahak supaya anda dan pasangan dapat merancang keluarga dan zuriat yang sihat.Anda perlu call terlebih dahulu klinik yang dipilih untuk ketahui sama ada anda perlu membuat appointment terlebih dahulu atau hanya terus walk-in. Tanya juga tentang prosedur yang perlu dilalui.  Untuk pengetahuan anda, tempoh sah laku ujian saringan HIV adalah 6 bulan sahaja daripada tarikh ujian dilakukan.Ujian HIV hanya boleh dibuat di klinik kerajaan sahaja. Hasil daripada Ujian HIV mesti disertakan bersama dokumen-dokumen yang diperlukan untuk mendapat kelulusan berkahwin.

Beli Barang-barang Hantaran

Sebelum membeli barang-barang hantaran, buat senarai barangan apa yang anda ingin jadikan sebagai hantaran terlebih dahulu. Barang-barang yang tidak melibatkan makanan seperti tas tangan, kasut dan telekung boleh mula dibeli pada waktu ini kerana tahan lama. 

Pastikan barang-barang dekorasi untuk gubahan hantaran dibeli sekali jika anda merancang untuk menggubah hantaran sendiri. Jika bercadang untuk menggunakan khidmat penggubah hantaran, jangan lupa lakukan tempahan sekarang.

Lakukan Survey Doorgift

Lakukan survey doorgift seawal yang mungkin supaya anda dapat membuat pilihan yang bijak yang bukan sahaja dapat menjimatkan bajet tapi juga memberi ruang kepada anda untuk memilih apa yang menarik untuk diberikan kepada tetamu.Anda boleh mendapatkan pandangan ahli keluarga yang lebih arif dalam memilih doorgift yang sesuai.

Dah buat survey doorgift dan ada pilihan supplier di hati? Anda sudah boleh mula membuat tempahan doorgift. Sebaiknya, buatlah tempahan doorgift melebihi anggaran untuk mengelakkan masalah kekurangan doorgift pada hari majlis.

Checklist kahwin untuk 3 bulan sebelum

Checklist kahwin untuk 3 bulan sebelum

Lengkapkan Borang Nikah

Sekiranya pasangan lelaki duduk di dalam daerah yang berbeza dengan bakal pengantin perempuan, borang nikah online bakal pengantin lelaki perlu dihantar ke Pejabat Agama dalam masa 90 hari ataupun 3 bulan sebelum hari akad nikah.

Jangan lupa untuk pastikan borang telah ditandatangani beserta dengan cop daripada imam masjid kariah. Dokumen-dokumen penting lain juga jangan dilupakan.

Bergantung kepada Pejabat Agama negeri anda, kebiasaannya, borang kebenaran kahwin dapat disiapkan dalam masa seminggu. Selepas seminggu, emak atau ayah pihak lelaki boleh ambilkan borang tersebut untuk diberikan kepada pihak perempuan.

Sediakan Borang Dan Dokumen Penting

3 bulan sebelum majlis, anda perlu memohon dan mendapatkan kebenaran bernikah melalui Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing. Anda juga perlu menyediakan dokumen-dokumen tertentu seawal mungkin seperti:

  • Salinan kad pengenalan
  • Borang permohonan nikah
  • Borang saksi permohonan nikah
  • Surat perakuan bujang
  • Laporan ujian HIV dan talasemia
  • Borang nikah luar kawasan
  • Sijil kursus kahwin
  • Sijil nikah ibu bapa pengantin perempuan
  • Surat mastautin

Anda juga perlu kenal pasti jurunikah, wali dan saksi untuk majlis anda nanti. Pastikan kehadiran mereka semua terutamanya jurunikah supaya lebih mudah untuk mereka uruskan jadual masing-masing dan tidak terlupa tarikh pernikahan anda.

Beli Cincin Kahwin

Ambil masa bersama-sama pasangan untuk memilih dan membeli cincin kahwin anda berdua. Selit sekali barangan kemas jika ingin mengadakan majlis membatalkan air sembahyang.Sebagai lambang cinta dan tanda ikatan kasih-sayang, sudah menjadi adat dalam pernikahan untuk menyarungkan cincin di jari pasangan. Cincin nikah ini selalunya lebih glamor daripada cincin pertunangan atau merisik. Harga cincin ini bergantung kepada jenis permata yang digunakan, bentuknya dan juga beratnya.

Tempah Kad Jemputan, Kek Kahwin Dan Banner Atau Bunting

Pastikan sebelum mencetak kad kahwin tersebut, nama, tarikh, alamat dan peta rumah adalah betul.

Jangan lupa untuk tempah kek kahwin, ia memainkan peranan yang penting dalam sebuah majlis perkahwinan. Tetapi, biarlah ia mengikut bajet anda dan tidak melebih-lebih.

Kemudian, tentukan sama ada anda ingin menempah banner atau bunting, atau kedua-duanya.

Apa beza banner dengan bunting?

Secara mudahnya, banner adalah melintang dan bunting adalah menegak. Banner biasanya lebih besar daripada bunting dan harganya lebih mahal dan hanya dipasang di tempat-tempat tertentu. Bunting yang berharga lebih murah biasanya dicetak dengan banyak dan dipasang. Jadi kalau anda mahu buat majlis yang kecil-kecilan dan mahu jimatkan kos cukup sekadar menggunakan bunting sahaja. 

Tempah bunting serta penunjuk arah supaya mudah untuk tetamu mencari tempat majlis.Tempah banner dan juga bunting untuk digantung di depan dewan atau khemah. Selain itu jangan lupa juga untuk menyediakan penanda jalan atau penunjuk arah bagi para tetamu yang datang. Bila jalan mudah dijumpai, barulah tetamu datang dengan senang hati.

Checklist kahwin untuk 1 bulan sebelum

Checklist kahwin untuk 1 bulan sebelum

Hantar Kad Jemputan

Sebulan sebelum majlis berlangsung, anda sudah boleh mengedarkan kad kahwin kepada tetamu yang telah disenaraikan tersebut.

Follow-up Dengan Vendor

Jangan lupa untuk berhubung dengan vendor dan ingatkan supaya mereka tak terlepas pandang tempahan anda. Tanya perkembangan tempahan anda supaya tidak kelam-kabut nanti.

Siapkan Playlist Kahwin

Pilih dan kumpulkan lagu yang bersesuaian untuk dimainkan pada hari berlangsungnya majlis. Sama ada ingin anda ingin mengumandangkan lagu kahwin klasik, lagu cinta yang terkini, lagu Inggeris yang romantik, lagu kahwin yang Islamik, segalanya berada di dalam tangan anda. Pemilihan lagu juga bergantung kepada tema majlis yang ingin anda ketengahkan

Checklist kahwin untuk 2 minggu sebelum

Checklist kahwin untuk 2 minggu sebelum

Lakukan Penjagaan Diri

Sebulan sebelum majlis, anda boleh tenangkan diri dengan pergi ke spa untuk urutan badan. Inilah masa untuk relakskan diri dengan memanjakan diri setelah hampir setahun berhempas- pulas mengatur majlis.

Bagi pengantin lelaki pula, anda boleh mempersiapkan diri dengan memotong rambut, buat facial dan spa juga.

Rancang Aturcara Majlis

Anda boleh mula merancang aturcara majlis akad nikah dan juga persandingan. Semestinya anda ingin segalanya berjalan dengan lancar tanpa kelam kabut, jadi setiap ahli keluarga yang terlibat perlu maklum dengan aturcara majlis supaya majlis berjalan lancar.

Follow-up Dengan Vendor Buat Kali Terakhir

Ini kali terakhir anda berurusan dengan vendor, jadi pastikan semuanya berjalan dengan lancar. Sekiranya masih ada barang yang belum selesai diterima, buat follow-up dengan vendor atau supplier yang berurusan dengan anda. Selesaikan juga sebarang pembayaran yang masih tergantung.

Checklist kahwin untuk 1 hari sebelum

Checklist kahwin untuk 1 hari sebelum

Pastikan Vendor Hadir Untuk Perkhidmatan Mereka

Pastikan kanopi, meja, kerusi, PA sistem dan pelamin sudah siap sedia dipasang oleh vendor yang ditempah. Jika ada vendor yang masih tidak datang, ingatkan mereka tarikh majlis anda. 

Lakukan Persiapan Busana Perkahwinan

Sehari sebelum majlis perkahwinan, anda dah boleh siap sedia dengan pakaian pengantin anda. Seterika baju pengantin awal-awal. Siapkan terus dengan aksesori lain seperti shawl atau tudung, tiara, rantai, brooch, kasut dan bunga tangan di sebelah pakaian pengantin. Untuk pengantin lelaki pula, samping, songkok atau tanjak perlu disiapkan.

Memakai Inai Di Tangan Dan Tidur Awal

Bagi pengantin perempuan, hari sebelum majlis merupakan waktu terbaik untuk memakai inai di jari. Sambil-sambil memakai inai, anda boleh merehat-rehatkan badan juga.Dapatkan rehat yang cukup supaya anda nampak segar dan cergas untuk hari esok.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *